~WeLCoMe...~


Saturday, April 17, 2010

~~Tetamu Taman Alam Kuala Selangor~~




(Article is taken from KOSMO 17 APRIL 2010...)

~Tidak seperti Taman Negara, Taman Tasik Titiwangsa, mahupun Taman Negara Tanjung Piai, kekayaan sumber pelancongan semula jadi di Kuala Selangor masih belum terserlah kepada khalayak.

~Mungkin ramai yang belum mengetahui bahawa terdapat pelbagai tempat menarik tertumpu di pekan Kuala Selangor dan salah satunya ialah Taman Alam Kuala Selangor (KSNP).

~Sepanjang berada di taman itu, pengunjung dijanjikan dengan pelbagai keunikan tersendiri apabila boleh menghayati tiga jenis ekosistem serentak dalam sebuah taman yang terbentang seluas hampir 800 ekar itu.

~Keindahan hutan sekunder, hutan paya bakau dan tasik air payau boleh dinikmati apabila anda mengikuti satu kembara menarik menyelusuri denai sejauh 1.5 kilometer (km).

~Tatkala melangkah masuk ke KSNP pada kadar bayaran sebanyak RM4 untuk dewasa, RM1 untuk pelajar dan RM2 untuk warga emas, pengunjung pasti akan merasa teruja dengan sambutan mesra daripada penghuni hutan dan tumbuhan yang menghijau di situ.

~Kembara bakau adalah perkara wajib yang patut diikuti apabila berkunjung ke situ. Perjalanan menarik anda bakal disajikan dengan pelbagai pengalaman indah dan pembelajaran menarik mengenai kehidupan hutan.

~Meninggalkan jejak di sepanjang denai dengan mengelilingi tasik payau buatan manusia, pemandangan indah flora dan fauna di kawasan hutan sekunder antara yang pertama akan menangkap mata anda.

~Di samping panduan daripada papan informasi yang turut tercatit nama saintifik, kegunaan dan sifat-sifat pokok-pokok, ia pasti mewujudkan suasana pembelajaran interaktif terutama kepada generasi muda yang jarang mengenali spesies-spesies itu.

~Antaranya seperti pokok beruas dengan nama saintifik grancinia hombroniana, pokok ketapang (terminalia cattapa), baru-baru (hibiscus illiaceus) dan pokok kabung (arenga pinnata) yang digunakan untuk membuat gula Melaka.

~Di tengah-tengah kembara itu terdapat hutan paya bakau yang turut tersedia dengan laluan khas sehingga sampai ke muara sungai Selangor yang mempertemukannya dengan Selat Melaka.

~Sepanjang perjalanan di jambatan, banyak spesies hidupan di kawasan paya yang boleh ditemui di kiri kanan laluan itu antaranya memerang ikan, ketam rehab, ketam bakau, ikan belacak dan siput sedut.

~Pengalaman menaiki salah sebuah daripada tiga menara tinjau yang terdapat dalam laluan kembara itu menjanjikan panorama mengasyikkan apabila dapat melihat rumah api di puncak Bukit Melawati dan pelbagai jenis burung yang 'berumah' di KSNP.

~Jangan lupa untuk membawa teropong anda sendiri untuk tidak melepaskan peluang bagi menyaksikan pelbagai jenis burung.

~Kemeriahannya akan lebih jelas terasa antara bulan September hingga Mac setiap tahun kerana KSPN menjadi tempat persinggahan pelbagai spesies burung migrasi.

~Menurut Pengurus Taman KSNP, Nagarajan Rengasamy, hampir 1,000 orang pengunjung melawat taman itu setiap bulan dan ia sangat sesuai sebagai destinasi pelajar sekolah, institusi pengajian mahupun organisasi syarikat yang ingin menjalankan aktiviti kursus di situ.

~Pihak pengurusan menyediakan kemudahan-kemudahan yang selesa seperti calet, dorm, hostel dan pondok A-frame yang dapat menampung lebih 100 orang dalam satu-satu masa.

~Pelbagai kemudahan lain untuk tujuan riadah, percutian, mahupun aktiviti berkumpulan disediakan untuk keselesaan pengunjung di taman yang diuruskan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia bersama kerajaan negeri Selangor itu seperti surau, amfiteater, dewan makan dan dewan berhawa dingin.

~Dengan tempoh perjalanan yang mengambil masa selama satu jam atau sejauh 60 km dari ibu kota, pengunjung boleh memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri mahupun mendapatkan perkhidmatan bas atau teksi untuk sampai ke situ.

~Tidak terlalu sukar untuk memandu ke KSNP, walaupun ia adalah kunjungan pertama anda kerana taman itu terletak di sebelah pekan Kuala Selangor. Selain itu, rumah api di puncak Bukit Melawati pastinya boleh dijadikan mercu utama untuk sampai ke situ.

~Taman yang dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang turut menyediakan pakej penginapan menarik pada kadar bayaran antara RM25 hingga RM175 mengikut jenis dan bilangan penginap.


(we've been there last month...& it was really fun...)

No comments:

Post a Comment